Kaedah ringkas penaksiran risiko kepada kesihatan bagi bahan kimia berbahaya kepada kesihatan
Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000 (Peraturan USECHH) menetapkan bahawa majikan tidak boleh melakukan aktiviti pekerjaan yang boleh mendedahkan atau kemungkinan mendedahkan pekerja kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan kecuali jika majikan tersebut telah melakukan penaksiran risiko kepada kesihatan yang timbul daripada penggunaan bahan kimia kepada kesihatan di tempat kerja. Majikan boleh memilih untuk melakukan penaksiran ringkas menggunakan kaedah SiRAC dan bukannya penaksiran penuh kecuali untuk bahan kimia berikut:
(a) bahan kimia yang dikelaskan sebagai kekarsinogenan kategori 1, kemutagenan kategori 1 atau pemekaan pernafasan kategori 1; atau
(b) habuk dan wasap yang dihasilkan oleh proses (misalnya, habuk kayu, wasap yang terhasil daripada logam lebur); atau
(c) habuk organik, misalnya habuk bijian, habuk kapas dan habuk sekam padi; atau
(d) gas, misalnya, hidrogen sulfida, ammonia, dan sebagainya; atau
(e) bahan kimia yang buangan terjadual seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) atau sebagaimana yang dipinda.
Penaksiran ringkas melibatkan proses mengelompokkan risiko tempat kerja ke dalam jaluran kawalan berdasarkan gabungan maklumat hazard dan pendedahan.